Jawapan ringkas
Bagi kebanyakan ibu yang kandungannya sihat, urutan yang lembut boleh memberi keselesaan, contohnya untuk sakit pinggang. Bincang dengan doktor anda dahulu, kerana bukti kajian masih terhad dan KKM menyarankan berhati-hati. Elak urutan kuat pada perut dan betis, baring mengiring, dan jangan berurut jika ada pendarahan, demam atau kaki bengkak sebelah.
Semakan perubatan oleh
Dr Fatimah Mustafah
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi
- M.D (UKM)
- M.O&G (Universiti Malaya)
- MMC 27460
- NSR 134372
Ditulis oleh
Pasukan Spa Roseville
Terapis wanita di Roseville Muslimah Spa, Bangi Gateway
Dikemas kini 30 Oktober 2026 21 rujukan
Makluman: Dr Fatimah ialah salah seorang pemilik Roseville.
Urut ibu mengandung: 6 perkara penting
- 1Urutan lembut boleh memberi keselesaan, tetapi kajian tentang sakit belakang dan rasa cemas masih terhad.
- 2Tanya doktor dahulu jika ada pendarahan, darah tinggi, plasenta rendah atau risiko bersalin awal.
- 3Baring mengiring dengan bantal; elak baring terlentang lama pada kandungan lewat.
- 4Jangan urut kuat pada perut atau betis; kaki bengkak sebelah perlu diperiksa doktor.
- 5Bayi songsang hanya dipusingkan oleh doktor atau bidan terlatih di hospital, bukan dengan urut.
- 6Pendarahan, air ketuban pecah atau bayi kurang bergerak: hubungi hospital segera.
Boleh ke urut masa mengandung? Apa kata kajian
Ramai ibu hamil mencari urutan kerana sakit pinggang, kaki lenguh atau sukar berehat. Urutan lembut boleh menjadi pilihan keselesaan jika kandungan anda sihat, tetapi ia bukan pengganti nasihat doktor.
NHS menyenaraikan urutan atau mandi air suam sebagai salah satu cara melegakan sakit belakang semasa hamil.
Satu ulasan sistematik 10 ujian rawak (1,198 ibu hamil, 2016) mendapati urutan dan kaedah manual lain mengurangkan sakit belakang dan pelvis berbanding penjagaan biasa, tetapi tidak berbanding sentuhan olok-olok (sham). Hanya 3 kajian melaporkan aspek keselamatan.
Ulasan lain (2020) terhadap 8 kajian mendapati urutan mungkin mengurangkan rasa cemas dan murung, tetapi tiada satu pun ujiannya berisiko bias rendah.
Di Malaysia, garis panduan Urut Melayu KKM (2018) meletakkan kehamilan dalam senarai keadaan yang memerlukan pengamal berhati-hati. Borang persetujuannya menyatakan wanita mengandung tidak digalakkan diurut di Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) fasiliti kesihatan kerajaan, demi mengelakkan risiko keguguran. Jadi, pilih tekanan yang lembut dan dapatkan persetujuan doktor dahulu.
Urut trimester pertama, kedua dan ketiga
Trimester pertama. Dalam ulasan 2016, purata usia kandungan peserta ialah 21 hingga 30 minggu, jadi data awal kehamilan sangat sedikit. Pendarahan faraj ialah tanda utama keguguran (NHS); jika ada, jangan berurut dan hubungi doktor. Langkah lebih berhati-hati ialah menunggu hingga trimester kedua.
Trimester kedua. Banyak kajian urutan dibuat sekitar tempoh ini. Apabila perut membesar, baring mengiring dengan bantal biasanya lebih selesa.
Trimester ketiga, termasuk 37 hingga 39 minggu. Selepas 28 minggu, tidur terlentang boleh meningkatkan risiko kelahiran mati (NHS). Sakit belakang pada trimester kedua atau ketiga juga boleh menjadi tanda bersalin awal (NHS), jadi minta doktor menilainya sebelum menempah urutan. Jika kontraksi datang setiap 5 minit atau lebih kerap, hentikan sesi dan hubungi hospital (NHS).
Bolehkah urutan mencetuskan bersalin?
Kami tidak menemui kajian berkualiti yang menunjukkan urutan lembut biasa mencetuskan bersalin. Bagi titik tekanan yang dipercayai boleh “memanggil” bersalin, ulasan Cochrane (2017) terhadap 22 ujian rawak tidak menemui manfaat jelas akupresur pada trimester ketiga. Namun risalah aromaterapi sebuah hospital NHS menyatakan sesetengah minyak pati mungkin membantu badan memulakan bersalin, jadi jangan gunakannya tanpa nasihat.
Siapa perlu tanya doktor dahulu?
Dapatkan nasihat doktor sebelum sebarang urutan jika anda:
- ada pendarahan faraj, atau plasenta terletak rendah (plasenta praevia) (NHS);
- ada darah tinggi atau pra-eklampsia, kini atau dahulu (NHS);
- pernah bersalin awal, atau berisiko bersalin awal;
- pernah mengalami darah beku, ada urat varikos, atau mengambil pencair darah (NHS);
- mengalami sakit dan bengkak pada sebelah kaki;
- demam tinggi, atau ada luka atau masalah kulit di kawasan yang hendak diurut.
KKM juga meminta pengamal urut berhati-hati dengan keadaan yang sama. Bertanyalah semasa pemeriksaan kehamilan di klinik.
Cara urut ibu mengandung: posisi yang selamat
Urutan pranatal ialah urutan yang diubah suai untuk ibu hamil: tekanan lebih lembut, posisi yang menyokong perut, dan bahagian tertentu dielak. NHS mencadangkan baring mengiring dengan bantal di bawah perut dan di antara lutut. Nasihat itu untuk tidur, tetapi posisi yang sama selesa di atas katil urut.
Pada kandungan lewat, elak baring terlentang lebih daripada beberapa minit kerana ia boleh menyebabkan pening dan tidak baik untuk bayi (NHS). Elak juga posisi yang menekan perut. Tiada tempoh sesi yang standard: minta sesi dihentikan atau posisi ditukar jika anda rasa pening, loya atau panas.
Urut pinggang, belakang, kaki dan tapak kaki
Ringkasan sumber rasmi (NHS, NCCIH dan KKM):
| Bahagian | Apa kata sumber | Cara lebih selamat |
|---|---|---|
| Pinggang dan belakang | NHS menyenaraikan urutan sebagai satu cara melegakan sakit belakang. Pada trimester kedua atau ketiga, sakit belakang boleh jadi tanda bersalin awal. | Tekanan lembut sambil mengiring. Jumpa doktor jika ada demam, pendarahan atau sakit ketika kencing. |
| Kaki dan tapak kaki | Kaki bengkak biasa semasa hamil. Bengkak tiba-tiba pada muka, tangan atau kaki boleh jadi tanda pra-eklampsia. | Urutan ringan jika selesa. Bengkak tiba-tiba: hubungi hospital. |
| Betis | Darah beku lebih mungkin semasa hamil. Kes darah beku selepas urutan jarang dilaporkan, sebahagiannya melibatkan urutan yang kuat. | Usapan ringan sahaja. Jangan urut kaki yang sakit, merah atau bengkak sebelah. |
| Perut | KKM tidak menggalakkan ibu hamil diurut di Unit PT&K fasiliti kesihatan kerajaan, demi mengelakkan risiko keguguran. | Elak urutan dan tekanan pada perut. |
Ramai ibu rasa lega apabila kaki diurut perlahan, tetapi tiada jaminan bengkak akan surut. Bagi bengkak biasa, NHS menyarankan berehat dengan kaki diangkat, elak berdiri lama, dan senaman kaki. NCCIH pula menyatakan kesan sampingan serius seperti darah beku jarang berlaku, dan sebahagian kes melibatkan urutan yang kuat seperti urutan tisu dalam.
Minyak urut ibu mengandung: apa yang perlu dielak?
KKM menyenaraikan alahan kepada minyak urut, serta lebam atau sakit sementara, sebagai kesan sampingan yang mungkin berlaku. Risalah aromaterapi hospital NHS pula menyatakan bukan semua minyak pati (essential oil) selamat semasa hamil: jangan sapu terus dari botol atau pada kulit yang luka, dan tanya bidan terlatih aromaterapi dahulu.
- Pilih minyak urut biasa tanpa minyak pati, kecuali doktor atau bidan anda bersetuju.
- Jika kulit anda mudah alah, cuba sedikit pada lengan dahulu.
- Beritahu terapis tentang sebarang alahan, dan jauhkan minyak daripada luka atau ruam.
Sauna dan mandian panas
Ibu hamil dinasihatkan mengelak tekanan haba, kerana suhu badan 39°C ke atas dikaitkan dengan risiko kepada janin (ulasan sistematik 2019). Sesi sauna pendek dalam kajian kecil tidak mencapai suhu itu, tetapi keadaan di spa berbeza-beza. Jadi, tanya doktor dahulu sebelum memilih sauna atau mandian panas.
Urut untuk ubah kedudukan bayi: jangan
Ada amalan lama mengurut perut ibu hamil untuk mengubah kedudukan bayi, contohnya bayi songsang. Jika tukang urut menawarkannya, tolak dengan baik.
Prosedur memusingkan bayi songsang dari luar perut dipanggil ECV (external cephalic version). Menurut RCOG, ECV dibuat oleh doktor atau bidan terlatih, di hospital yang boleh menjalankan czer kecemasan, dengan degupan jantung bayi dipantau. Kira-kira 1 dalam 200 ibu memerlukan czer kecemasan sejurus selepas ECV. NHS menyatakan ECV biasanya ditawarkan jika bayi masih songsang pada 36 minggu.
RCOG juga menyatakan tiada bukti saintifik bahawa posisi baring atau duduk tertentu membantu bayi berpusing.
Petua pasukan Roseville
Sebelum sesi, beritahu terapis usia kandungan anda, nasihat doktor, sebarang alahan dan bahagian yang sakit. Anda boleh minta tekanan dikurangkan atau sesi dihentikan bila-bila masa.
Urut ibu mengandung di Bangi: Roseville Muslimah Spa
Roseville Muslimah Spa di Plaza Bangi Perdana, Bangi Gateway, terbuka kepada semua wanita, dengan terapis wanita dan ruang tertutup. Menu spa wanita kami termasuk urutan pranatal dan selepas bersalin, yang disesuaikan mengikut keadaan anda. Sesi spa bertujuan untuk keselesaan dan rehat, bukan untuk merawat penyakit. Tanya kami melalui WhatsApp sebelum menempah slot.
Ramai ibu hamil juga sedang merancang tempat berpantang. Ketika datang ke spa, tempah lawatan vila percuma di pusat berpantang mesra Muslim kami, atau dapatkan Pelan Pantang Percuma berdasarkan tarikh jangkaan bersalin. Baca juga bila perlu tempah pusat berpantang dan idea hadiah untuk isteri.
Selepas bersalin, keperluan badan berubah, terutama selepas czer. Panduan urut selepas bersalin menerangkan bila boleh mula dan siapa perlu menunggu.
Tanya tentang urutan pranatal di Bangi Gateway
Lihat menu Roseville Muslimah Spa, kemudian hantar soalan anda bersama usia kandungan melalui WhatsApp.
Tanda bahaya: berhenti dan hubungi hospital segera
Hentikan urutan dan hubungi doktor atau hospital segera jika anda mengalami tanda di bawah (NHS: pendarahan, sakit perut, air ketuban, pergerakan bayi, pra-eklampsia dan DVT).
Hubungi hospital segera jika
- Pendarahan faraj.
- Air ketuban pecah, atau cecair keluar dari faraj.
- Sakit perut yang kuat, atau tidak hilang selepas berehat 30 hingga 60 minit.
- Bayi kurang bergerak, berhenti bergerak, atau corak pergerakannya berubah.
- Sakit kepala teruk, penglihatan kabur, atau bengkak tiba-tiba pada muka, tangan atau kaki.
- Sakit atau bengkak pada sebelah kaki, sesak nafas atau sakit dada.
Untuk pergerakan bayi, NHS menasihatkan jangan tunggu hingga esok, walaupun pada tengah malam. Roseville ialah pusat berpantang dan spa wanita, bukan klinik atau hospital, jadi kami tidak menilai keadaan kesihatan ibu atau bayi.
Merancang pantang sambil menunggu hari bersalin?
Tempah lawatan vila percuma di Bangi Gateway bersama suami. Lihat bilik, dan tanya tentang pakej 3 hingga 44 hari serta urutan pranatal di spa.
Soalan lazim
Boleh ke urut masa mengandung?
Bagi kebanyakan ibu yang kandungannya sihat, urutan lembut boleh memberi keselesaan, tetapi buktinya terhad. Ulasan kajian mendapati sakit belakang dan rasa cemas berkurang berbanding penjagaan biasa, namun kualiti kajiannya rendah, dan KKM menyarankan berhati-hati. Tanya doktor dahulu, terutama jika ada pendarahan, darah tinggi atau risiko bersalin awal.
Ibu mengandung boleh urut kaki ke?
Boleh, dengan urutan ringan jika anda selesa dan tiada tanda bahaya. Kaki bengkak biasa semasa hamil, tetapi bengkak tiba-tiba pada muka, tangan atau kaki boleh menjadi tanda pra-eklampsia. Jangan urut betis yang sakit, merah atau bengkak sebelah, kerana risiko darah beku lebih tinggi semasa hamil. Jumpa doktor segera.
Bolehkah urutan pranatal mencetuskan bersalin?
Kami tidak menemui kajian berkualiti yang menunjukkan urutan lembut biasa mencetuskan bersalin. Ulasan Cochrane terhadap 22 ujian rawak tidak menemui manfaat jelas akupresur pada trimester ketiga. Namun sesetengah minyak pati mungkin membantu badan memulakan bersalin, jadi elakkannya tanpa nasihat. Jika kontraksi datang berkala atau air ketuban pecah, hubungi hospital.
Ibu mengandung boleh guna kerusi urut ke?
Kami tidak menemui garis panduan rasmi tentang kerusi urut semasa hamil. Jika mahu mencuba, baca amaran pengeluar dalam manual, tanya doktor dahulu dan pilih tetapan yang lembut. Elak tekanan kuat pada betis dan perut, serta fungsi panas yang lama. Berhenti segera jika rasa pening, sakit atau perut mengeras.
Ada urutan ibu mengandung di Bangi?
Ada. Roseville Muslimah Spa di Plaza Bangi Perdana, Bangi Gateway, menyenaraikan urutan pranatal dan selepas bersalin dalam menu spa, disesuaikan mengikut keadaan anda. Spa ini terbuka kepada semua wanita, dengan terapis wanita dan ruang tertutup. Tanya dahulu melalui WhatsApp 011-5559 9174, bersama usia kandungan dan nasihat doktor anda.
Rujukan
- Back pain in pregnancy, NHS, 2024
- The effectiveness of complementary manual therapies for pregnancy-related back and pelvic pain: A systematic review with meta-analysis (Hall H et al.), Medicine (Baltimore), 2016
- The effectiveness of massage for reducing pregnant women’s anxiety and depression; systematic review and meta-analysis (Hall HG et al.), Midwifery, 2020
- Traditional and Complementary Medicine Practice Guideline: Malay Massage, Edisi Ketiga, Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia, 2018
- Miscarriage, NHS, 2026
- Tiredness and sleep problems in pregnancy, NHS, 2024
- Exercise in pregnancy, NHS, 2026
- Signs that labour has begun, NHS, 2023
- Acupuncture or acupressure for induction of labour (Smith CA, Armour M, Dahlen HG), Cochrane Database of Systematic Reviews, 2017
- Aromatherapy during pregnancy (risalah 846), University Hospitals of Leicester NHS Trust, disemak 2026
- Vaginal bleeding in pregnancy, NHS, 2026
- Pre-eclampsia, NHS, 2026
- DVT (deep vein thrombosis), NHS, 2026
- Kesihatan Ibu Hamil, Portal Rasmi Kerajaan Malaysia (MyGOV), dikemas kini 2026
- Swollen ankles, feet and fingers in pregnancy, NHS, 2024
- Massage Therapy: What You Need To Know, National Center for Complementary and Integrative Health (NIH), 2019
- Heat stress and fetal risk. Environmental limits for exercise and passive heat stress during pregnancy, ulasan sistematik (Ravanelli N et al.), British Journal of Sports Medicine, 2019
- Breech baby at the end of pregnancy, Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (RCOG), dikemas kini 2026
- What happens if your baby is breech?, NHS, 2023
- Stomach pain in pregnancy, NHS, 2024
- Your baby’s movements, NHS, 2024
Artikel ini untuk maklumat umum dan tidak menggantikan nasihat doktor anda. Roseville ialah pusat penjagaan berpantang dan spa wanita, bukan klinik atau hospital. Sesi spa, termasuk urutan pranatal, bertujuan untuk keselesaan, tanpa jaminan hasil kesihatan. Untuk sebarang masalah kesihatan ibu atau bayi, dapatkan nasihat doktor atau fasiliti kesihatan berdaftar.