Urut Selepas Bersalin: Bila Boleh Mula, Berapa Kali dan Siapa Perlu Tunggu

Disemak oleh Dr Fatimah Mustafah, Pakar O&G · kelayakanDitulis oleh Pasukan Spa RosevilleDiterbitkan 21 Okt 2026Masa membaca 9 minit

Jawapan ringkas

Dari sudut perubatan, tiada hari tetap yang dikhususkan untuk urut selepas bersalin. Bagi bersalin normal, garis panduan KKM untuk unit perubatan tradisional hospital menyebut urutan seluruh badan biasanya bermula 3 hingga 7 hari selepas bersalin. Bagi bersalin czer, dapatkan kebenaran doktor dahulu dan elakkan kawasan luka. Di Roseville, urutan ialah sesi spa untuk keselesaan dan rehat.

Semakan perubatan oleh

Dr Fatimah Mustafah

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi

Ditulis oleh

Pasukan Spa Roseville

Terapis wanita di Roseville Muslimah Spa, Bangi Gateway

Dikemas kini 24 Oktober 2026 13 rujukan

Makluman: Dr Fatimah ialah salah seorang pemilik Roseville.

Ringkasan 1 minit

Urut selepas bersalin: 6 perkara ringkas

  1. 1Tiada hari tetap. Bagi bersalin normal, garis panduan KKM menyarankan urutan bermula 3 hingga 7 hari selepas bersalin.
  2. 2Bersalin czer: dapatkan kebenaran doktor dahulu, kemudian minta terapis mengelakkan kawasan luka dan perut.
  3. 3Tangguhkan jika demam, pendarahan banyak, luka merah atau bengkak, atau sebelah kaki sakit.
  4. 4Tiada bilangan sesi yang ditetapkan oleh kajian. Amalan tradisi berbeza mengikut keluarga.
  5. 5Roseville Muslimah Spa, Bangi Gateway: terapis wanita, ruang tertutup, terbuka kepada semua wanita.
  6. 6Untuk keselesaan dan rehat. Tiada janji hasil kesihatan; jumpa doktor jika ada tanda bahaya.
Roseville Confinement Villa & Spa, Bangi Gateway

Urut selepas bersalin berapa hari baru boleh mula?

Jawapannya bergantung pada cara anda bersalin dan keadaan badan anda. Ramai juga menyebutnya urut lepas bersalin atau urut pantang.

Selepas bersalin normal

Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai garis panduan penjagaan selepas bersalin Melayu untuk unitnya di hospital. Menurut garis panduan tersebut, urutan seluruh badan, bersama-sama bertungku dan barut (balutan kain di pinggang), biasanya bermula 3 hingga 7 hari selepas bersalin normal, selepas penilaian keadaan ibu.

Selepas bersalin czer

Bersalin czer (pembedahan caesarean) ialah pembedahan pada perut. NHS di United Kingdom menyatakan ibu mungkin hanya bersedia untuk aktiviti seperti bersenam kira-kira 6 minggu selepas czer.

Garis panduan KKM tadi mengecualikan ibu czer daripada urutan di unit perubatan tradisional hospital. Jadi, dapatkan kebenaran doktor dahulu, contohnya semasa pemeriksaan di klinik kesihatan sebulan selepas bersalin, seperti yang disarankan oleh portal rasmi kerajaan.

Bagi ibu czer, kebenaran doktor ialah langkah pertama, bukan langkah terakhir. Selepas dibenarkan, minta terapis mengelakkan kawasan luka dan perut serta menggunakan tekanan ringan. Baca juga panduan pantang czer.

PerkaraBersalin normalBersalin czer
Bila boleh mulaTiada hari tetap; di unit KKM, biasanya 3 hingga 7 hari selepas bersalin.Selepas doktor membenarkan.
ElakkanJahitan dan bahagian yang sakit.Luka dan perut, sehingga doktor membenarkan.
TekananRingan hingga sederhana.Ringan, tanpa tekanan pada perut.
Tangguhkan jikaDemam, pendarahan banyak, jahitan merah atau bengkak.Demam, luka merah atau berair, sebelah kaki sakit atau bengkak.

Apakah yang berlaku semasa sesi urut di spa wanita?

Di Roseville Muslimah Spa, Bangi Gateway, anda diurut oleh terapis wanita dalam ruang tertutup. Hanya staf wanita yang dibenarkan masuk ke ruang spa.

Mencari pakej urut selepas bersalin? Menu spa kami termasuk:

  • Urutan pranatal dan selepas bersalin: disesuaikan mengikut keadaan anda.
  • Urutan separuh badan atau seluruh badan: ikut masa dan keselesaan anda.
  • Urutan kaki dan spa kaki: untuk sesi yang lebih ringkas.
  • Pakej spa Essential dan Signature: urutan bersama spa kaki dan pilihan lain.

Berpantang di vila kami? Pakej berpantang Roseville 7 hari ke atas sudah termasuk urutan tradisional seluruh badan.

Tempah urut selepas bersalin di Bangi Gateway

Terbuka kepada semua wanita, termasuk ibu yang berpantang di rumah. Lihat menu spa atau WhatsApp kami untuk menyemak slot.

Urut pantang berapa hari dan berapa kali?

Tiada kajian yang menetapkan bilangan sesi yang betul, dan amalan tradisi berbeza mengikut keluarga. Sebagai gambaran:

  • Garis panduan KKM menyebut urutan badan dalam penjagaan Melayu dibuat sekurang-kurangnya 6 hingga 7 kali sepanjang pantang.
  • Menurut garis panduan itu, unit perubatan tradisional hospital KKM biasanya menyediakan 3 sesi pada minggu pertama selepas bersalin normal, kemudian pada hari ke-39, 40 dan 44.
  • Dalam kajian 2021 di sebuah klinik kesihatan di Bagan Serai, Perak, ibu yang memilih urut bermula pada purata hari ke-12 selepas bersalin, kira-kira 5 kali sebulan.

Pilih bilangan sesi mengikut keselesaan badan, jadual bayi dan bajet anda. Jika berasa sakit selepas sesi, tangguhkan sesi seterusnya.

Di Roseville, anda boleh menempah satu sesi pada satu masa, atau memilih keahlian spa 6 bulan.

Urut pada hujung pantang lazimnya dipanggil penutup pantang; baca panduan penutup pantang hari ke berapa. Belum pasti tempoh pantang anda? Baca berpantang berapa hari.

Siapa yang perlu tunggu atau elak berurut dahulu?

Tangguhkan urutan dan tanya doktor dahulu jika mana-mana keadaan ini berlaku. Urut boleh ditangguhkan, tetapi tanda bahaya tidak boleh diabaikan.

  • Luka atau jahitan bermasalah: masih sakit, merah, bengkak atau berair. Sakit di perineum (kawasan antara faraj dan dubur) yang semakin teruk boleh menjadi tanda jangkitan (NHS).
  • Demam atau pendarahan banyak: lihat tanda bahaya di bawah.
  • Pernah mengalami darah beku atau mengambil pencair darah: risiko darah beku di kaki (DVT) lebih tinggi dalam 6 minggu selepas bersalin (NHS), terutamanya sejurus selepas bersalin dan selepas czer (RCOG). Jangan urut kaki yang sakit atau bengkak.
  • Darah tinggi atau pre-eklampsia: pre-eklampsia boleh berlaku selepas bersalin (NHS); tanya doktor sebelum sesi berhaba seperti tuam atau sauna.
  • Masalah kulit: ruam, jangkitan atau luka terbuka di kawasan yang hendak diurut.

Menurut Pusat Kebangsaan Kesihatan Komplementari dan Integratif Amerika Syarikat (NCCIH), risiko kesan buruk urutan nampaknya rendah, tetapi terdapat laporan kes yang jarang tentang darah beku, kecederaan saraf dan patah tulang, sebahagiannya selepas urutan kuat atau urutan tisu dalam. Bagi ibu yang baru bersalin, tekanan ringan hingga sederhana lebih wajar.

Bila perlu berjumpa doktor?

Jumpa doktor segera jika tanda ini muncul sebelum, semasa atau selepas sesi urut. Untuk kecemasan, hubungi 999.

Jumpa doktor segera jika

  • Pendarahan tiba-tiba dan sangat banyak, atau berasa hendak pengsan atau pening (hubungi 999).
  • Pendarahan yang bertambah, berketul atau berbau luar biasa.
  • Suhu badan 38°C atau lebih.
  • Luka czer atau jahitan semakin merah, sakit atau bengkak, atau keluar nanah.
  • Sakit, bengkak atau kemerahan pada sebelah kaki, terutamanya di betis; jika sesak nafas atau sakit dada, hubungi 999.
  • Sakit kepala teruk, penglihatan kabur atau cahaya berkelip, sakit di bawah rusuk, atau bengkak tiba-tiba pada muka, tangan atau kaki.
  • Berasa sangat sedih atau putus asa, atau terfikir untuk mencederakan diri atau bayi. Dapatkan bantuan segera, termasuk Talian HEAL 15555 (KKM).

Roseville ialah pusat penjagaan berpantang dan spa wanita, bukan klinik. Terapis kami tidak membuat penilaian perubatan.

Apakah yang perlu anda maklumkan kepada terapis sebelum sesi bermula?

Sesi urut selepas bersalin yang selamat bermula dengan soalan, bukan dengan minyak urut. Sediakan maklumat ini:

  1. Tarikh dan cara anda bersalin, serta sebarang komplikasi.
  2. Keadaan luka atau jahitan, dan sama ada doktor sudah membenarkan urutan.
  3. Pendarahan semasa, dan sama ada ia semakin berkurang.
  4. Sejarah darah beku, darah tinggi atau pre-eklampsia, serta preskripsi doktor seperti pencair darah.
  5. Alahan kepada minyak, krim atau bau tertentu, dan masalah kulit.
  6. Bahagian yang perlu dielakkan, dan tahap tekanan yang selesa bagi anda.

Petua pasukan Roseville

Sesi pertama selepas bersalin? Pilih sesi yang lebih ringkas dengan tekanan ringan, dan maklumkan kepada terapis segera jika berasa tidak selesa. Bawa peneman untuk menjaga bayi supaya anda benar-benar dapat berehat.

Urut selepas bersalin: apa kata tradisi dan apa kata kajian?

Bagi kebanyakan keluarga Melayu, urut ialah teras amalan pantang. Garis panduan KKM menamakan urutan, haba dan herba sebagai tiga ciri utama penjagaan selepas bersalin Melayu.

Bukti saintifiknya pula masih terhad. Kajian teknologi kesihatan KKM (MaHTAS, 2015) mendapati bukti keberkesanan penjagaan selepas bersalin tradisional masih terhad, dan menyarankan kajian lanjut tentang keberkesanan serta keselamatannya.

Satu ulasan sistematik (2021) terhadap 30 kajian rawak tentang kaedah komplementari untuk sakit selepas bersalin, termasuk urutan, menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah dan keselamatannya masih tidak pasti.

Kami menghormati tradisi, tetapi Roseville tidak menjanjikan perubahan pada rahim, perut, susu badan, berat badan atau hormon. Bagi kami, sesi yang berjaya membuatkan ibu berasa didengari, selesa dan sempat berehat.

Tukang urut ke rumah, spa atau pusat berpantang: mana yang sesuai?

Ketiga-tiganya boleh sesuai. Yang penting, tukang urut atau terapis bertanya tentang cara anda bersalin dan menghormati kemampuan badan anda.

PilihanSesuai jikaPerkara untuk ditanya
Tukang urut selepas bersalin ke rumahAnda tidak mahu keluar rumah.Pengalaman dengan ibu selepas bersalin, minyak yang digunakan, dan sama ada dia bertanya tentang cara anda bersalin.
Spa wanitaAnda mahu ruang tertutup di luar rumah, dengan pilihan seperti mandian herba.Siapa yang menjaga bayi, dan tempoh sesi.
Pusat berpantang (confinement centre)Anda mahu urutan menjadi sebahagian daripada penjagaan pantang.Bilangan sesi dalam pakej, dan polisi untuk ibu czer.

Masih memilih tempat berpantang? Baca pusat berpantang atau berpantang di rumah, serta panduan berpantang sendiri dan mandian herba selepas bersalin.

Mencari urut pantang di Bangi? Roseville Muslimah Spa di Plaza Bangi Perdana, Bangi Gateway (Seksyen 15, Bandar Baru Bangi) terbuka kepada semua wanita. Tidak perlu menginap; tempah slot melalui WhatsApp.

Mahu urutan berkala selepas pantang?

Keahlian spa 6 bulan menawarkan satu sesi setiap bulan, tertakluk kepada kekosongan. Mahu menghadiahkannya kepada isteri atau ibu? Tanya tentang baucar hadiah melalui WhatsApp.

Soalan lazim

Urut pantang czer boleh ke?

Tanya doktor dahulu kerana ia bergantung pada keadaan luka dan kesihatan anda. Garis panduan KKM mengecualikan ibu czer daripada urutan di unit perubatan tradisional hospital, dan NHS menyatakan aktiviti seperti bersenam mungkin hanya sesuai kira-kira 6 minggu selepas czer. Jika dibenarkan, minta terapis mengelakkan kawasan luka dan perut.

Boleh urut perut selepas bersalin?

Selepas czer, elakkan urutan perut sehingga doktor membenarkan. Selepas bersalin normal, garis panduan KKM menekankan kawasan perut diurut dengan berhati-hati, jadi minta tekanan ringan. Urutan perut dan pinggang di spa kami ialah urutan lembut untuk keselesaan. Kami tidak menjanjikan perubahan pada rahim atau saiz perut.

Masih ada darah selepas bersalin, bolehkah berurut?

Menurut NHS, pendarahan selepas bersalin (lokia) biasanya berhenti selepas 6 hingga 8 minggu tetapi boleh berlarutan. Jika ia semakin berkurang dan anda sihat, maklumkan kepada terapis semasa membuat tempahan. Jika pendarahan bertambah, berketul atau berbau luar biasa, jumpa doktor dahulu. Jika tiba-tiba menjadi sangat banyak, hubungi 999.

Saya berpantang di rumah. Boleh tempah urut di Roseville Muslimah Spa?

Boleh. Roseville Muslimah Spa di Bangi Gateway terbuka kepada semua wanita, termasuk ibu yang berpantang di rumah, dan semua sesi spa boleh ditempah tanpa menginap. Tempah slot melalui WhatsApp, dan maklumkan tarikh serta cara anda bersalin supaya urutan dapat disesuaikan.

Urut selepas bersalin dan urut penutup pantang, sama ke?

Tidak sama. Urut selepas bersalin boleh dibuat semasa atau selepas pantang, untuk keselesaan dan rehat. Urut penutup pantang pula ialah sesi yang menandakan tamatnya pantang. Pakej Penutup Pantang di Roseville menggabungkan urutan seluruh badan dengan, antaranya, sauna, tuam, lulur dan mandian herba.

Rujukan

  1. Garis panduan amalan: Malay Postnatal Care (Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari hospital KKM), PDF, Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia, 2011
  2. Caesarean section: Recovery, NHS (UK), disemak 4 Jan 2023
  3. Kesihatan ibu selepas bersalin, Portal Rasmi Kerajaan Malaysia (MyGOV), dikemas kini 16 Mac 2026
  4. Traditional and Complementary Medicine Use During Postpartum Period: A Cross-Sectional Analysis at a Rural, Public Maternal and Child Health Clinic in West Malaysia, Ridzuan MH dan rakan, Cureus 13(6): e15410, 2021
  5. Early days, NHS (UK), disemak 27 Jan 2026
  6. DVT (deep vein thrombosis), NHS (UK), disemak 30 Apr 2026
  7. Reducing the risk of venous thrombosis in pregnancy and after birth, Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (RCOG), Ogos 2015
  8. Pre-eclampsia, NHS (UK), disemak 23 Mac 2026
  9. Massage Therapy: What You Need To Know, National Center for Complementary and Integrative Health (NCCIH), Amerika Syarikat, dikemas kini Mei 2019
  10. Postnatal depression, NHS (UK), disemak 18 Mac 2026
  11. Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan, Majlis Keselamatan Negara (maklumat KKM), 3 Nov 2025
  12. Traditional Postnatal Care in Restoring Women’s Physical and Mental Health (ringkasan INAHTA bagi Technology Review Report 004/2015), Bahagian Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS), Kementerian Kesihatan Malaysia, 2016
  13. The effectiveness and safety of complementary health approaches to managing postpartum pain: A systematic review and meta-analysis, Smith CA dan rakan, Integrative Medicine Research 11(1): 100758, 2021

Artikel ini untuk maklumat umum dan tidak menggantikan nasihat doktor anda. Roseville ialah pusat penjagaan berpantang dan spa wanita, bukan klinik atau hospital. Untuk sebarang masalah kesihatan ibu atau bayi, dapatkan nasihat doktor atau fasiliti kesihatan berdaftar.

Tanya kami
error: Content is protected !!
×