Mandian Herba Selepas Bersalin: Bila Boleh Mula, Cara Selamat dan Apa Kata Kajian

Disemak oleh Dr Fatimah Mustafah, Pakar O&G · kelayakanDitulis oleh Pasukan Spa RosevilleDiterbitkan 21 Okt 2026Masa membaca 8 minit

Jawapan ringkas

Mandian herba selepas bersalin ialah amalan tradisi pantang untuk berasa segar dan selesa, bukan prosedur perubatan. Jika bersalin normal tanpa jahitan atau komplikasi, mulakan apabila anda rasa bersedia. Jika ada jahitan atau bersalin czer, tunggu luka sembuh dan dapatkan kebenaran doktor. Guna air suam, basuh bahagian luar sahaja dan jangan masukkan herba ke dalam faraj.

Semakan perubatan oleh

Dr Fatimah Mustafah

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi

Ditulis oleh

Pasukan Spa Roseville

Terapis wanita di Roseville Muslimah Spa, Bangi Gateway

Dikemas kini 24 Oktober 2026 15 rujukan

Makluman: Dr Fatimah ialah salah seorang pemilik Roseville.

Ringkasan 1 minit

Mandian herba selepas bersalin: 6 perkara ringkas

  1. 1Amalan tradisi pantang untuk berasa segar dan selesa, bukan prosedur perubatan.
  2. 2Bersalin normal tanpa komplikasi: mula apabila bersedia. Berjahit atau czer: tunggu luka sembuh dan kebenaran doktor.
  3. 3Guna air suam, bukan panas, dalam tab atau besen yang bersih.
  4. 4Basuh bahagian luar sahaja. Jangan masukkan herba ke dalam faraj atau mencuci bahagian dalamnya.
  5. 5Berhenti jika kulit gatal atau pedih, atau anda berasa pening. Maklumkan alahan kepada terapis.
  6. 6Bayi kuning perlu dinilai doktor. Jangan guna mandian herba untuk bayi kuning.
Roseville Confinement Villa & Spa, Bangi Gateway

Apa itu mandian herba selepas bersalin?

Mandian herba selepas bersalin ialah mandi atau berendam dalam air suam yang dicampur herba. Ia sebahagian daripada amalan berpantang masyarakat Melayu, bersama bengkung, urutan dan bertungku, dan ramai menyebutnya mandi herba dalam pantang. Tujuannya rasa segar, hangat dan selesa, tanpa janji kesan perubatan.

Bahannya berbeza mengikut keluarga dan tempat. Lazimnya, campuran tumbuhan direndam dalam air panas dan digunakan apabila suam. Satu kajian di Brunei (2025) merekodkan 14 tumbuhan lazim dalam air mandian ibu berpantang masyarakat Melayu, Kedayan dan Lun Bawang, termasuk sembung dan limau nipis.

Kami tidak memberikan resipi kerana tumbuhan boleh menyebabkan alahan. Menurut NHS, sesetengah tumbuhan dan wangian boleh menyebabkan dermatitis kontak (kulit merah dan gatal), walaupun bahan yang sama pernah digunakan tanpa masalah.

Bila boleh mula mandian herba selepas bersalin?

Masa yang sesuai bergantung pada cara anda bersalin, keadaan jahitan atau luka, dan pendarahan. Ibu yang bersalin normal tanpa jahitan boleh mula apabila berasa bersedia. Ibu yang berjahit atau bersalin czer perlu menunggu luka sembuh dan mendapat kebenaran doktor.

  • Bersalin normal tanpa jahitan: mula apabila bersedia, dengan air suam. Dalam satu kajian di Perak (2021), ibu yang mengamalkannya bermula pada purata hari ke-6.
  • Jahitan perineum (koyakan atau episiotomi): RCOG (Kolej Diraja Pakar Obstetrik dan Ginekologi, UK) menasihatkan kawasan koyakan tahap satu atau dua dibersihkan dengan air sahaja. Menurut NHS, jahitan biasanya sembuh dalam sebulan. Tanya doktor atau bidan sebelum air herba terkena jahitan.
  • Bersalin czer: risalah NHS menasihatkan luka dibersihkan dengan air biasa tanpa sabun atau minyak, dan tidak direndam. Luka lazimnya menjadi parut dalam 5 hingga 6 minggu. Baca juga panduan pantang czer.
  • Darah nifas (lokia): biasanya berhenti selepas 6 hingga 8 minggu tetapi boleh berlarutan (NHS). Jika pendarahan banyak, bertambah atau berbau, atau anda demam, tangguhkan mandian herba dan jumpa doktor.

Apa yang berlaku semasa sesi mandian herba di Roseville?

Di Roseville Confinement Villa & Spa, pusat berpantang (confinement centre) dan spa wanita di Bangi Gateway, semua pakej berpantang merangkumi mandian herba & bunga serta rendaman air suam (sitz bath). Ibu yang berpantang di rumah boleh menempah sesi di Roseville Muslimah Spa, yang terbuka untuk semua wanita.

  • Dalam pakej (3 hari 2 malam hingga 44 hari 43 malam): mandian herba ialah sebahagian daripada penjagaan herba harian, bersama-sama bengkung dan tuam, mengikut tradisi. Lihat kandungan setiap pakej.
  • Di spa: mandian herba, mandian duduk (sitz), mandian bunga dan mandian susu. Mandian herba juga termasuk dalam Pakej Penutup Pantang (lihat panduan penutup pantang).

Sesi dikendalikan oleh terapis wanita dalam ruang tertutup, untuk keselesaan dan bukan prosedur perubatan. Semasa menempah, beritahu kami cara dan tarikh anda bersalin, keadaan jahitan atau luka, pendarahan, alahan dan nasihat doktor.

PilihanApa ituPerkara untuk diberitahu terapis
Mandian herbaMandi dengan air suam yang dicampur herba.Alahan, jahitan atau luka yang belum sembuh, pendarahan.
Mandian duduk (sitz)Duduk dalam air suam cetek yang menutup punggung dan pinggul.Jahitan perineum, buasir, nasihat doktor.
Mandian bunga atau susuAir suam yang dicampur bunga atau susu.Alahan kepada bunga, wangian atau susu.
Sauna inframerah jauhBerehat dalam bilik sauna yang hangat.Darah tinggi, mudah pening, nasihat doktor supaya mengelakkan haba.
Tuam seluruh badanTuaman hangat pada badan.Luka czer (elakkan haba pada luka), kulit sensitif.

Tempah mandian herba di Roseville Muslimah Spa

Terbuka untuk semua wanita, termasuk ibu yang berpantang di rumah. Tanya tentang slot yang sesuai dengan tarikh anda bersalin.

Cara mandian herba selepas bersalin yang selamat

Prinsipnya mudah: bekas yang bersih, air suam, dan herba hanya di bahagian luar badan. Langkah di bawah sesuai untuk mandian di rumah atau di spa. Jika anda bersalin czer, berjahit atau mengalami komplikasi, dapatkan kebenaran doktor anda dahulu.

  1. Basuh tangan dan bersihkan tab atau besen sebelum digunakan. RCOG menasihatkan ibu membasuh tangan sebelum dan selepas ke tandas atau menukar pad bagi mengurangkan risiko jangkitan.
  2. Gunakan air suam, bukan panas. Uji kepanasan air dengan tangan dahulu dan kacau rata supaya tiada bahagian yang terlalu panas.
  3. Basuh atau rendam bahagian luar sahaja. Jangan masukkan herba ke dalam faraj atau mencuci bahagian dalamnya (douching); menurut ACOG (Kolej Pakar Obstetrik dan Ginekologi Amerika), faraj mampu membersihkan dirinya sendiri.
  4. Untuk mandian duduk, isi air suam secukupnya untuk menutup punggung dan pinggul.
  5. Berhenti jika kulit gatal atau pedih, atau anda berasa pening, dan bilas dengan air biasa.
  6. Selepas mandi, tekap perlahan dengan tuala hingga kering dan pakai pad baharu.

Petua pasukan Roseville

Letakkan tuala bersih, pakaian dalam dan pad baharu dalam jangkauan sebelum mandi supaya anda tidak tergesa-gesa di atas lantai basah. Jika berpantang di rumah, minta suami atau keluarga menjaga bayi sepanjang sesi.

Mandian herba berpantang berapa hari dan berapa kerap?

Tiada bilangan hari atau kekerapan yang ditetapkan secara saintifik, dan amalannya berbeza mengikut keluarga dan tempat. Panduan yang lebih penting ialah badan anda: mula hanya apabila luka dan pendarahan membenarkan, dan berhenti jika ada tanda yang membimbangkan. Dua kajian menggambarkan amalan sebenar, bukan saranan:

  • Di Bagan Serai, Perak (2021), 65.1% daripada 129 ibu yang mengamalkan kaedah tradisional selepas bersalin memilih mandian herba. Mereka bermula purata pada hari ke-6 dan meneruskannya kira-kira 16 hari.
  • Di Brunei (2025), masyarakat Melayu dilaporkan mandi herba pada hari ke-3, 7, 14 dan 40 tempoh pantang.

Di vila Roseville, mandian herba ialah sebahagian daripada penjagaan herba harian. Jika anda berpantang sendiri di rumah, sesi spa boleh ditempah mengikut keperluan. Selepas pantang, keahlian spa 6 bulan memberi satu sesi sebulan, termasuk pilihan mandian herba dan mandian duduk, tertakluk kepada kekosongan. Baca juga berpantang berapa hari.

Bila perlu jumpa doktor?

Jumpa doktor segera jika anda atau bayi mengalami tanda di bawah, sebelum atau selepas mandian. Untuk kecemasan, hubungi 999 atau pergi ke jabatan kecemasan hospital terdekat.

Jumpa doktor segera jika

  • Pendarahan tiba-tiba dan sangat banyak, atau berasa hendak pengsan, pening atau jantung berdebar kencang (hubungi 999).
  • Pendarahan yang bertambah atau tidak berkurang, ada ketulan darah, atau berbau luar biasa.
  • Suhu badan melebihi 38°C.
  • Jahitan atau luka czer semakin merah, bengkak atau sakit, berbau, bernanah atau terbuka.
  • Bibir, mulut, lidah atau tekak tiba-tiba bengkak, atau sukar bernafas (hubungi 999). Ruam atau gatal yang teruk, berulang atau tidak hilang juga perlu diperiksa doktor.
  • Bayi kelihatan kuning. Pergi ke kecemasan segera jika bayi kuning berumur kurang 24 jam, terlalu mengantuk atau sukar dikejutkan, tidak mahu menyusu, atau sukar bernafas.

Roseville ialah pusat penjagaan berpantang dan spa wanita, bukan klinik, dan terapis kami tidak menilai atau merawat keadaan ini. Jika perlu pemeriksaan, kami boleh bantu aturkan temu janji di klinik atau hospital pilihan ibu.

Kebaikan mandian herba selepas bersalin: apa kata kajian?

Ramai ibu menghargai mandian herba kerana rasa hangat, kesegaran dan peluang untuk berehat seketika. Itulah nilai sebenar amalan ini. Bukti saintifik tentang herba dalam air mandian selepas bersalin masih terhad, jadi Roseville tidak menjanjikan sebarang kesan perubatan daripadanya.

Dalam kajian Perak, sebab utama ibu mengamalkan kaedah tradisional ialah kesejahteraan umum (72.1%), dan penyelidik menyarankan lebih banyak kajian tentang manfaat serta risikonya.

Ujian klinikal pula sedikit. Satu ujian rawak (1994) melibatkan 635 ibu yang menambah minyak lavender tulen, minyak lavender sintetik atau bahan tidak aktif ke dalam air mandian selama 10 hari selepas bersalin normal. Skor ketidakselesaan perineum tidak menunjukkan perbezaan yang ketara antara kumpulan.

Bagi mandian duduk air suam, ACOG menyenaraikannya antara langkah penjagaan diri untuk sakit perineum, pedih ketika kencing dan buasir selepas bersalin. Panduan tersebut merujuk kepada air suam, bukan herba. Di Roseville, mandian duduk ialah sesi keselesaan, bukan pengganti nasihat doktor.

Kami menghormati kepercayaan tradisi tentang “angin” dalam badan, tetapi tidak membuat dakwaan kesihatan berdasarkannya. Nilai mandian herba terletak pada keselesaan, rehat dan makna budaya.

Berpantang di vila? Mandian herba sudah termasuk

Semua pakej berpantang Roseville merangkumi mandian herba & bunga serta rendaman air suam (sitz bath). Lihat kandungan pakej, atau tempah lawatan vila percuma untuk melihat bilik dan bertanya tentang rutin harian ibu.

Soalan lazim

Selepas bersalin czer, bolehkah mandi herba?

Boleh, selepas luka sembuh dan doktor membenarkannya. Risalah NHS menasihatkan luka czer dibersihkan dengan air biasa tanpa sabun atau minyak, dan tidak direndam. Sementara itu, mandi biasa dengan aliran air perlahan pada luka lebih sesuai. Apabila dibenarkan, elakkan haba atau tekanan pada luka.

Bolehkah mandikan bayi kuning dengan air herba?

Tidak. Bayi kuning perlu dinilai doktor, bukan dimandikan dengan air herba. Menurut NHS, kuning pada bayi biasanya tidak berbahaya, tetapi ada bayi yang memerlukan fototerapi di hospital. Untuk mandian harian, NHS menyarankan air suam, bukan panas, dengan air sahaja atau pencuci cecair yang sesuai untuk bayi.

Apa beza mandian herba dengan mandi wap herba?

Mandian herba menggunakan air suam, manakala mandi wap herba menggunakan wap panas. Ada amalan yang menghalakan wap ke faraj (vaginal steaming); elakkannya kerana satu laporan kes perubatan (2019) mencatatkan lecur tahap dua. Menu Roseville Muslimah Spa tidak termasuk mandi wap; sauna inframerah jauh kami ialah bilik hangat untuk berehat.

Saya berpantang di rumah. Boleh tempah mandian herba di Roseville?

Boleh. Roseville Muslimah Spa di Plaza Bangi Perdana, Bangi Gateway, terbuka untuk semua wanita, termasuk ibu yang berpantang di rumah, tanpa perlu menginap. Tempah slot melalui WhatsApp dan maklumkan cara serta tarikh anda bersalin, keadaan jahitan atau luka, dan sebarang alahan.

Rujukan

  1. Traditional and Complementary Medicine Use During Postpartum Period: A Cross-Sectional Analysis at a Rural, Public Maternal and Child Health Clinic in West Malaysia, Ridzuan MH dan rakan, Cureus 13(6): e15410, 2021
  2. Practice and perceptions of postpartum care in Brunei Darussalam indigenous communities: a cross-sectional study, Muhamad A dan rakan, Anthropological Science 134(1): 1-14, 2025
  3. First- and second-degree tears, Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (RCOG), Mei 2022
  4. Episiotomy and perineal tears, NHS (UK), disemak 9 Jun 2023
  5. Caring for your caesarean birth wound (PIL202410-02-CCBW), Sherwood Forest Hospitals NHS Foundation Trust, disemak Okt 2024
  6. Early days, NHS (UK), disemak 27 Jan 2026
  7. Postpartum Pain Management (FAQ519), American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), disemak Ogos 2022
  8. Vaginitis (FAQ028), ACOG, dikemas kini Dis 2025
  9. Contact dermatitis: causes, NHS (UK), disemak 3 Mei 2023
  10. Anaphylaxis, NHS (UK), disemak 21 Jun 2023
  11. Contact dermatitis, NHS (UK), disemak 3 Mei 2023
  12. Jaundice in babies, NHS (UK), disemak 24 Mac 2026
  13. The role of lavender oil in relieving perineal discomfort following childbirth: a blind randomized clinical trial, Dale A, Cornwell S. Journal of Advanced Nursing 19(1): 89-96, 1994
  14. Washing and bathing your baby, NHS (UK), disemak 23 Jul 2024
  15. Second-Degree Burn Sustained After Vaginal Steaming, Robert M. Journal of Obstetrics and Gynaecology Canada 41(6): 838-839, 2019

Artikel ini untuk maklumat umum dan tidak menggantikan nasihat doktor anda. Roseville ialah pusat penjagaan berpantang dan spa wanita, bukan klinik atau hospital. Untuk sebarang masalah kesihatan ibu atau bayi, dapatkan nasihat doktor atau fasiliti kesihatan berdaftar.

Tanya kami
error: Content is protected !!
×